Coretan Rohani

Nikmat makan. Nikmat syukur.

Nikmatnya makan bukan sekadar nikmatnya makanan.

Begitulah sepatutnya yang dirasai oleh kita bila menghadapi makanan. Rahsia makanan bukan sahaja pada makanan yang dihidang tapi pada rasa hati yang menghadapi dan merasai makanan.

Secara kiasannya, bila kita melihat betapa orang yang susah mendapatkan makanan begitu bersyukur dengan makanan yang diperolehinya. Mereka akan memakan apa saja makanan bagi memenuhi tuntutan keperluan jasmaninya. Mereka merasa nikmatnya makan bukan sekadar nikmatnya makanan.
Bagaimana dengan kita yang cukup makan, adakah kita terus makan untuk menyihatkan lagi jasmani kita. Alangkah baiknya, jika kita makan kita juga rasa bersyukur dengan makanan yang diperolehi seperti orang yang susah mendapat makanan.

Teringat pada kisah Rasulullah S.A.W, kekasih Allah, utusan umat, bila baginda mampu memiliki segalanya waima makanan yang sedap-sedap dan mewah tetapi baginda tetap tawaduk dengan kehidupan yang sederhana. Walaupun diberi tawaran oleh Allah dengan memerintahkan gunung-gunung di semenanjung Arab menjadi longgokan emas, baginda menolak tawaran tersebut. Bukankah dengan emas Rasulullah S.A.W boleh menukarkannya dengan makanan yang sedap-sedap serta mewah, tapi bukan begitu itu akhlak baginda.
Sehinggakan pada satu hari, Rasulullah S.A.W menunaikan solat fardu dan menjadi imam di masjid Nabawi, sahabat-sahabatnya yang menjadi makmun terdengar bunyi berkeretup. Sahabat-sahabatnya yang memang kasihkannya merasa cemas dan setelah selesai bersolat, Umar bin Khattab bertanya, “Ya Rasulullah, adakah kamu sakit?”
Jawab Rasulullah S.A.W, “Aku sihat sahaja.” 
Tanyanya Umar lagi, “Tetapi mengapa setiap kali kamu menggerakkan tubuh terdengar bunyi tulang belulang berkeretup?”
Rasulullah S.A.W lalu membuka bajunya dan membuka lilitan kain pada perutnya dan menunjukkan batu-batu kerikil yang menyebabkan bunyi tersebut kedengaran setiap kali baginda menggerakkan tubuh dalam solatnya.
Sahabat-sahabatnya terkejut dan bertanya lagi, “Ya Rasulullah, mengapa kamu lakukan begitu, adakah kamu fikir kami tidak mampu memberi makanan kepada kamu. Bahkan ramai di kalangan kami yang hidup mewah sedangkan kamu kelaparan.” 

Begitulah sedih senarionya, sebagai ingatan, bila mana kita yang mampu makan makanan yang sedap-sedap masih ada lagi orang yang tak mampu untuk membeli makanan.

Tetapi Rasulullah S.A.W yang tinggi akhlaknya bukan saja kasih pada sahabat-sahabatnya malahan teringat akan tanggungjawabnya.
Jawab baginda, “Aku faham bahawa kamu semua adalah sahabatku yang setia, jangan makan, nyawa pun jika ku minta, kamu pasti memberikannya. Tetapi di mana tanggungjawabku di hadapan Allah sebagai pemimpin, aku membebankan orang yang aku pimpin?” 

Rasulullah S.A.W juga, selalu mencukupkan diri dengan sedikit makanan dan menahan diri dari sifat tamak, tergesa-gesa dan berebut-rebut makanan. Baginda tidak pernah mengucapkan kata lapar atau haus.

Bagaimana pula dengan kita? Jika kita tidak dapat mampu untuk berakhlak setinggi akhlaknya baginda, mulakanlah dengan nikmat makan dengan rasa nikmat syukur bukan sekadar nikmatnya makanan. Bersyukurlah bila mana kita berpeluang makan tak kira makanan itu kurang sedap, sederhana sedap atau makanan itu murah atau mahal. Berkongsilah rasa nikmat syukur tersebut dengan saudara-saudara kita, moga berkat rezeki kita.

Bersederhanalah dalam segala hal termasuklah dalam hal-hal makanan kita, sebagaimana doa munajat baginda,
“Ya Allah, anugerahkanlah kepadaku kesederhanaan hidup di waktu miskin ataupun kaya”. 

Begitu juga, Aisyah r.a  isteri baginda pernah berkata,

“Tidaklah seorang hamba yang meminum air sejuk, lalu masuk ke dalam perut dengan lancar tanpa ada gangguan dan keluarnya juga dengan lancar, kecuali wajib baginya bersyukur.

Begitulah kata-katanya yang dalam maksudnya untuk peringatan bagi kita dalam hal makan dan minum, supaya kita sentiasa bersyukur dan senantiasa memuji-Nya atas nikmat tersebut.

AstaghfirAllah, AstaghfirAllah, AstaghfirAllah. Moga Allah S.W.T ampunkan dosa-dosa kita.  Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, syukur atas nikmat yang diberi. 🙂

SubhanAllah, Maha Suci Allah yang memberi segalanya.

Advertisements
Categories: Coretan Rohani | Tinggalkan komen

Segalanya Kerana Niat.

Segalanya Kerana Niat. Itulah salah satu tajuk isi kandungan dalam buku coretan rohani yang ditulis oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali dengan panggilan Dr.MAZA. Buku yang bertajuk ‘Penawar Duka Pengubat Sengsara’ benar-benar menyentuh jantung hati dan mencerahkan minda bagi yang memahami.

Saya membacanya hingga saya merasakan segala  apa yang ditulis mengambarkan atau mewakili apa yang tersirat. Memang benar seperti yang dikatakan ‘perbuatan itu adalah hakikat niat’. Apa yang DrMAZA tulis dan saya tulis adalah perbuatan yang tersurat manakala niat tersirat di jantung hati kami. Moga niat kami atau tujuan kami dan azam kami untuk menyampaikan pesan rasa hati kami sampai ke hati yang membaca. InsyaAllah.

MASA yang berlalu dengan NIAT. 

Setiap detik masa dan bilangan hari yang berlalu membawa pelbagai peristiwa. Sedih dan duka, bahagia dan derita. Ia berlaku mengikut pilihan kita atau pilihan Yang Maha Kuasa. Namun kedua-dua pilihan itu sebenarnya adalah ketetapan yang telah Allah tentukan, maka hakikatnya kita hanyalah berikhtiar dan ALLAH juga yang menentukan. Segala apa yang kita miliki adalah kurniaannya, maka hakikatnya kita tak punya apa, semuanya milik ALLAH.

Lihat, betapa segala yang berlaku adalah tanpa daya kita kecuali dengan pertolongan dan pemberian daripada ALLAH. Maka, saya menulis dengan izin Allah dengan rahmat dan kasih sayangNya kepada saya dan kepada semua yang membaca. Saya seorang yang fakir atau amat memerlukan apa sahaja kebaikan yang ALLAH akan berikan kepada saya dalam saya meneruskan usaha saya menulis untuk menyampaikan. Justeru, maafkan saya jika saya tersilap dan kasar bahasa.

“Ya Allah, tiada daya dan upayaku tanpa pertolongan-Mu. 
Ampunilah kami dan rahmatilah kami Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami. ” Ameen. Moga Engkau perkenankan doa kami. 

Categories: Coretan Rohani, Hal Saya | Tinggalkan komen

Jalan yang mana kita pilih. Lurus atau Bengkok??

‘Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk’

‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’.

Pernahkah kita terfikir dan yakin bahawa jalan yang kita pilih adalah jalan yang betul. Atau adakah kita tahu dan faham apakah jalan yang betul.

Jalan  yang betul adalah  jalan yang lurus. Jalan yang lurus adalah seperti jalan yang dinyatakan dalam  doa yang kita baca sekurang-kurangnya 17 kali dalam sehari di dalam setiap solat kita.

Doa tersebut terdapat dalam surah al-Fatihah iaitu:

Tunjukilah kamu jalan yang lurus. (6)

Berdasarkan ayat di atas, mengikut tafsiran setiap jalan tidak dinamakan jalan yang lurus sehingga ia mengandungi lima perkara, iaitu:

1) Jalan tersebut lurus.

2) Jalan tersebut akan menyampaikan kepada maksud.

3) Jalan tersebut dekat.

4) Jalan tersebut mudah dilalui.

5) Jalan tersebut menyakinkan sampai kepada matlamat.

Huraian ringkas tentang jalan yang lurus dari lima perkara ini boleh disimpulkan bahawa jalan yang lurus adalah jalan yang dekat, mudah dan cepat sampai ;  bukan jalan yang bengkok, jalan yang menjadi  jalan jauh, susah dan lambat sampai.

Panduan untuk  kita pilih jalan yang lurus ini  adalah berdasarkan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Di dalamnya terdapat kisah-kisah yang boleh dijadikan panduan untuk kita memilih jalannya.

Para Nabi, para siddiqin, para syuhada’ dan para solihin adalah orang-orang yang  memiliki akidah dan cara beribadah serta akhlak yang mulia. Mereka mengikut perintah Allah, hidup berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Merekalah orang yang  telah memilih jalan yang lurus dan mendapat anugerah nikmat daripada Allah.

Manakala, Yahudi dan Nasrani adalah orang-orang yang ingkar pada perintah Allah. Yahudi dengan sifat degilnya, mereka memiliki ilmu yang benar tetapi tidak melaksanakannya. Sedangkan Nasrani dengan sifat jahil terhadap kebenaran walaupun mereka beramal. Merekalah yang memilih jalan yang bengkok iaitu jalan yang sesat, mereka akan mendapat hukuman dari Allah.

Renungkanlah, janganlah kita memilih jalan yang sesat seperti Yahudi dan Nasrani yang akhirnya mereka dihukum. Jika kita benar-benar ikhlas dan mengharapkan agar ditunjuki oleh-Nya ke jalan yang lurus maka  kita hendaklah mengikuti jejak langkah empat golongan yang disebut di atas iaitu; para Nabi, para siddiqin, para syuhada’ dan para solihin moga nanti kita dianugerahkan nikmat.

SubhanAllah. Maha Suci Allah. AllahuAkbar. Allah Maha Besar. Saya Cinta Allah dan menyintai apa yang dicintai olehNya.  🙂

-sumber rujukan: Tafsir Al-Furqan (Juz 1) Dr. Abdullah Yasin

Categories: Coretan Rohani | Tinggalkan komen

Allah SWT, DIA Maha Dekat dengan ???

Beberapa sahabat Rasulullah SAW bertanya: Ya Rasulullah, adakah Tuhan kita itu dekat sehingga kami (patut) bermunajat kepada-Nya, ataukah Dia itu jauh sehingga kami (patut) memanggil-Nya?

Sehubungan dengan itu dan beberapa peristiwa yang lain, maka turunlah ayat 186 : Surah Al-Baqarah

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segera perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada di dalam kebenaran.’

Betapa sayang Allah SWT pada kita semua, tiada tandingannya. Tiada perantaraan antara kita denganNya, kita boleh memohon terus kepadaNya.
DIA menyatakan bahawa Dia Maha Dekat dengan orang yang berdoa kepada-Nya dan Dia akan memperkenankan permintaan kita dengan syarat-syaratnya, iaitu dengan memenuhi segera perintah-Nya dan beriman kepada-Nya. Syaratnya itu supaya kita berada di landasan yang benar, sentiasa dalam kebenaran, hanya yang benar mendapat yang terbaik itukan lumrahnya.

Kita tidak perlu berdoa dengan suara yang tinggi seperti doanya umat Islam yang berdoa dengan suara yang tinggi dalam perang Khaibar. Itulah yang didengari oleh Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda:

‘Hai sekelian manusia, kasihanilah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak memohon kepada yang pekak dan tidak pula kepada yang jauh; sesungguhnya kamu memohon kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat dan Dia bersama kamu.’
(Di riwayatkan juga sebab turun ayat 186: Al-Baqarah ialah kerana peristiwa ini). 

Allah Maha Mendengar, Allah Maha Dekat, Allah bersama kita, ; maka mengadulah kepadaNya, memohonlah terus kepadaNya dan yakinlah dengan pemberiannya yang penuh kasih dan sayang. Janganlah bermohon  kepada yang lain selain daripadaNya agar kita senantiasa berada dalam landasan kebenaran.

‘ALLAH SWT. DIA Maha Dekat dengan orang yang berdoa kepada-Nya.’

Subhan Allah. Maha Suci Allah. Allahu Akbar. Allah Maha Besar. Saya Cinta Allah dan menyintai apa yang dicintai olehNya. 🙂

Categories: Coretan Rohani | Tinggalkan komen

Kasih

Kasih ibu membawa ke syurga

Kasih ayah sepanjang masa

Kasih saudara semasa ada

Kasih Allah terus menerus ada….

Itulah hakikat yang kita kena terima bahawa kasih adalah elemen yang perlu ada dalam kehidupan. Tanpa kasih manusia tak bisa bersama dan bersatu. Tanpa kasih dunia akan musnah dek kebenciaan. Cuma, yang perlu kita tahu kasih kita sebagai seorang muslim adalah berbeza dari kasih seorang yang bukan muslim pada sesuatu yang dikasihi. Seorang muslim berkasih kerana prinsip Islam dan kemanusiaan manakala kasih seorang bukan muslim atas dasar kemanusiaan sahaja. Seperti keterangan ayat dari surah Al-Imran 3:31-32..

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

Ayat di atas adalah ukuran kasih yang berdasarkan prinsip Islam (berdasarkan tauhid) yang Allah SWT tentukan dan wahyukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umatnya dan diamalkan oleh seorang muslim.

Kasih sejati kita sebagai seorang muslim jelas berdasarkan tauhid. Ini bermakna kasih datang dari tauhid yakni kesaksian kita akan keesaan Allah maka ikutilah Rasulullah SAW. Bukti kasih kita terhadap Allah,  ‘Pentadbir sekalian alam’, ialah kita wajib yakin Ia Zat  yang memelihara kita dari awal hingga akhir, dan pemeliharaanNya tidak pernah terhenti iaitu terus menerus ada.

Manakala, kasih seorang bukan muslim hanya pada dasar kemanusiaan.  Seorang penganut agama Kristian contohnya,  menganggap kasih seorang bapa adalah kasih yang sebenarnya. Mereka menganggap Nabi Isa telah dihantar oleh bapanya yang kononnya berada di syurga sebagai korban demi membersihkan dosa-dosa penganut-penganutnya. Kasih seperti ini menjadi kasih palsu yang cuma menggunakan dasar kemanusiaan tapi tidak bertetapan jadinya.

Kasih juga tidak akan sampai ke mana-mana kecuali ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi. Seperti ungkapan kata-kata, ‘Kasih ibu membawa ke syurga; kasih saudara semasa ada, berkorban raga, rela binasa; berkorban nyawa tanda kasihnya’. Itulah syarat-syaratnya iaitu ada pengorbannya dan ganjarannya. Maka kasih kita sebagai seorang muslim adalah pada syarat yang dinyatakan pada ayat di atas iaitu ikutilah dan taatilah dan ganjarannya Allah kasihi dan ampuni dosa-dosa kita.

Kesimpulannya, kasih menurut prinsip Islam, taat pada Allah dan RasulNya dengan menurut perintah yang ditetapkan, ganjarannya syurga. Bukti kasih Allah ialah ZatNya yang memelihara terus menerus ada hingga bila-bila.
Kasih pada yang lain tidak kekal selama-lamanya dan hanya memberi pada yang termampu sahaja.

Sebagai contohnya seorang bapa tidak dapat menyembuhkan penyakit yang dihadapi oleh anaknya kecuali dengan membawanya kepada doktor yang akan mengubatinya. Doktor yang mengubatinya tidak dapat terus menyembuhkan penyakit pesakitnya  kecuali dengan bantuan ubat-ubatan. Dan segala usaha yang dilakukan tak akan berjaya kecuali dengan   izinNya.

Ini bermakna ayah dan doktor tersebut hanya mampu lakukan yang termampu sahaja dengan kena terus berusaha sedangkan Allah mempunyai kuasa terus atas setiap sesuatu.

Seorang ibu yang mengandung tidak mampu melihat dan memelihara anak yang dikandungnya di dalam rahim kecuali berusaha untuk memastikan  kesihatan dirinya sendiri.

Ini juga bermakna ibu tersebut hanya dapat berusaha memelihara kesihatan dirinya sahaja sedangkan anak kecil dalam rahimnya adalah dalam pemeliharaan Allah yang mempunyai kuasa atas setiap sesuatu.

Inilah bukti pekerjaan ‘Rabb’ yang kita saksikan setiap hari, inilah kesaksian keesaanNya.

Akhirnya, siramilah dan binalah serta kukuhkanlah kasih kita pada Allah SWT, Yang Maha Pencipta, pemelihara sekian alam maka akan terbinalah kasih pada yang lain kerana sesungguhnya hidup kita dan mati kita hanyalah untukNya tidak pada sekutuNya.

 SubhanAllah. Maha Suci Allah. AllahuAkbar. Allah Maha Besar. Saya Cinta Allah dan menyintai apa yang dicintai olehNya. 🙂

Categories: Coretan Rohani | Tinggalkan komen

Cinta. Mahabbah


Tiada kata secantik bahasa…

untuk ku puji adinda…

Tiada gambar seindah lukisan …

 nak ku tunjukkan perasaan….

Tersusun indah senikata dalam irama dan lagu yang didendangkan. Melahirkan rasa cinta seseorang kepada orang yang dicintainya. Terjadi cinta kerana fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah sememangnya cinta terjadi kerana mematuhi kehendak Allah. Justeru kesempurnaan cinta seseorang kepada Allah ialah bila dia mencintai seseorang yang dicintai oleh Allah dan dia membenci seseorang yang dibenci oleh Allah.

C I N T A adalah asas bagi segala jenis ibadat. Ibadat menjadi tidak sah tanpa disertai dengan rasa cinta dengan kerendahan hati yang sempurna, seperti senikata lagu di atas perbuatan cinta dan rasa cinta diluahkan dengan kerendahan hati (ikhlas).

Anugerah cinta yang dikurniakan Allah dan nikmat yang dirasainya amatlah tidak ternilai harganya hingga kadangkala seseorang sanggup mengorbankan nyawa untuknya.

Tetapi, bolehkah kita menyamakan cintanya kita kepada seseorang dengan cintanya kita kepada ALLAH? Tentu sama sekali jawapannya, TIDAK. Kerana barangsiapa yang menyamakan cintanya kepada seseorang sebagaimana dia menyintai Allah atau mencintai sesuatu selain Allah atau mencintai sesuatu bukan kerana Allah maka orang tersebut termasuk ke dalam golongan orang yang telah ‘syirik’ iaitu menyekutukan Allah. Nauzu Billah Min Zalik.

Ini kerana hawa nafsu CINTA harus disesuaikan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w , sebagaimana ayat di dalam surah Ali’ Imran 3:31.

” Katakanlah (wahai Muhammad): ” Jika kamu benar mencintai Allah ikutilah daku, nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa,  ‘Jika kita benar mencintai Allah ikutilah ajaran Rasulullah s.a.w. iaitu kekasih Allah yang menerima risalah daripada Allah melalui malaikat Jibrail dan menyampaikannya kepada kita, umat manusia. Kenapa? Kerana di dalam risalah itulah terdapat segala jenis ibadat serta ajaran yang dapat disesuaikan dengan hawa nafsu cinta.

Selanjutnya  Allah berjanji kepada sesiapa yang memenuhi syarat di atas iaitu mematuhi ajaran Rasulullah s.a.w ,  Allah akan mencintainya. Akhirnya Allah berjanji akan mengampuni dosa-dosanya.

APAKAH ERTI CINTA.

C I N T A ditafsirkan mengikut tafsiran orang yang mengunkapkan kata cinta malahan kata cintanya kadang-kadang terkeliru dengan perbuatannya sendiri. Ini bermakna mereka tidak dapat memahami erti cinta itu sebenar.

Marilah, kita memahami erti cinta; cinta sebenar, cinta palsu dan syirik cinta.

Syirik cinta, iaitu menyamakan cinta kita kepada Allah sama seperti cinta kita kepada seseorang atau makhluk yang lain dengan perbuatan mengagongkannya dan rasa takut padanya. Sedangkan yang layak untuk diagongkan dan rasa takut hanyalah untuk Allah semata-mata. Ini adalah cinta salah, cinta syirik, janganlah kita terjerumus ke dalam jenis cinta ini.

Janganlah kita juga tertipu dan terjerumus dalam cinta palsu atau cinta yang tak cukup iaitu hanya menuturkan kata menyintai ALLAH SWT tetapi mengingkari syariatnya. Cinta jenis ini tidak mencukupi untuk melayakkan kita memasuki syurga Allah dan terhindar daripada azab neraka. Kenapa? Kerana orang munafik dan orang kafir juga cinta kepada Allah. Mereka menuturkan kata  menyintai ALLAH tapi mereka sebenarnya orang  yang kufur pada nikmat akal, pendengaran dan penglihatan. Mereka mengkhianati apa yang dituturkan kerana mereka mengingkari apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu dengan tidak mematuhi perintah syariatnya yang datangnya dari Allah swt. Cinta mereka tidak sempurna (tidak cukup) bila mengakui kalimah syahadat yang pertama tetapi mengingkari kalimah syahadat yang kedua.

Bukankah itu yang banyak terjadi pada masa kini, golongan yang Islam pada luarannya tetapi kafir pada dalamannya.  Nauzu Billah Min Zalik.

Justeru, janganlah kita sekadar tahu mengucapkan kata CINTA tapi buta hati akan makna CINTA SEBENAR . Erti Cinta Sebenar ialah bila kita cinta kepada apa yang dicintai oleh Allah. Cinta (patuhi) apa yang diperintahkan oleh Allah dan benci pada apa yang dilarang oleh Allah. Cinta ini membawa kita ke jalan Allah dan seterusnya menjadi muslim sejati iaitu orang yang dicintai Allah.

Kedua, erti Cinta Sebenar ialah Cintailah kerana Allah. Jika kita mencintai seseorang cintailah kerana Allah. Cintailah seseorang bukan saja pada rupanya tapi cintailah seseorang kerana cintanya yang dekat dengan Allah iaitu yang mengikut ajaran Allah.

Semoga dengan memahami kesempunaan cinta sebenar, maka kita akan berada di dalam landasan kebenaran. Raihlah ia dengan bermunajat kepada Allah supaya dikurniakan hati yang lapang untuk menerimanya dan mengimaninya. Kesempurnaan cinta bermula dari mencintai Allah yang Esa dan insyaAllah akan sempurnalah cinta kepada yang lain.

SubhanAllah. Maha Suci Allah. AllahuAkbar. Allah Maha Besar. Saya Cinta Allah dan menyintai apa yang dicintai olehNya. 🙂

Categories: Coretan Rohani | Label: | 1 Komen

Blog di WordPress.com.